TENOM: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu telah ditemukan mati lemas di Sungai Padas berhampiran Kampung Pangi, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Mohd Zainal Sinsian berkata, mangsa ditemukan sekitar jam 1.10 petang oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR).
Menurut maklumat yang diterima, angsa yang dikenalpasti sebagai Kriston Jukiring, 19, dikatakan telah pergi ke rumah salah seorang penduduk di Kampung Kalandos sekitar jam 5 petang pada 23 Februari.
“Mangsa datang ke rumah itu untuk meminjam kayak bagi tujuan menjala ikan di Sungai Padas yang berhampiran dengan Kampung Pangi,” katanya.
Menurut Mohd Zainal, mangsa bagaimanapun tidak pulang ke rumah sebelum operasi SAR dijalankan sejak Khamis lalu yang turut dibantu oleh penduduk kampung serta beberapa agensi keselamatan yang lain termasuk pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi dijalankan menggunakan kaedah pencarian di sepanjang permukaan serta tebing sungai yang membabitkan 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mohd Zainal berkata, pasukan bomba juga terpaksa menggunakan perkhidmatan pengangkutan kereta api untuk ke lokasi bagi mendapatkan maklumat berikutan ketiadaan liputan telefon di lokasi kejadian.
“Mangsa ditemukan oleh pasukan SAR pada jam 1.10 petang semalam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Pasukan bomba telah mengangkat dan membawa mayat mangsa ke stesen dengan menaiki kereta api.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi keseluruhan telah ditamatkan pada jam 3.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.