KUALA LUMPUR: Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkaitan dengan perlaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ahli akar umbi dan pimpinan UMNO perlu menunggu perbincangan parti serta proses yang sewajarnya.
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu menunggu keputusan perbincangan di peringkat pimpinan parti terlebih dahulu sebelum memutuskan kewajaran mempercepatkan PRU-15.
Setakat ini, isu menyegerakan PRU-15 belum dibincangkan di peringkat parti, selain belum ada pihak yang berjumpa dengannya untuk berbincang berkenaan perkara itu.
“Semua pihak perlu menunggu. Hal ini demikian kerana perbincangan dan keputusan memerlukan kata putus Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya tarikh ditetapkan sendiri oleh pihak kita, nanti Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa baginda. Semua ini memerlukan proses tersendiri. Mula-mula kita bincang dalam parti dulu kemudian adakan mesyuarat parti, selepas itu barulah kita adakan perbincangan dan sebagainya,” jelas beliau.
Susulan daripada desakan beberapa pihak, Ismail Sabri diminta mengulas perkara ini dengan lebih jelas agar tidak timbul sebarang isu di hari depan.
Desakan itu timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, yang menyaksikan parti itu menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memberi jaminan pimpinan parti akan mengambil kira pandangan akar umbi, termasuk mengenai desakan menyegerakan PRU-15 dalam menentukan usul yang akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) esok.
“Usul sayap hari ini saya tidak tahu. Malam ini kita ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi dan segala usul sayap akan dibincangkan,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkata, UMNO perlu mengambil pendirian jelas untuk menyegerakan PRU-15 dalam tahun ini juga, bukannya tahun depan.
Gesaan itu, katanya, antara lain kerana pihak lawan ketika ini berada dalam kedudukan amat lemah berdasarkan keputusan beberapa PRN baru-baru ini, selain persefahaman politik dalam kalangan pembangkang ketika ini sangat bercelaru.
Sementara itu, Mohamad melihat isu jangkitan COVID-19 ketika PRU-15 dilihat tidak lagi berbangkit selepas kejayaan pelaksanaan beberapa PRN. Beliau bimbang UMNO dan BN menjadi kambing hitam jika ekonomi Malaysia terjejas akibat isu global seperti perang Russia-Ukraine, ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan rantaian bekalan global.