Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya Sabah mengesahkan setakat ini sebanyak 15 pakej pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Sabah berjalan mengikut jadual.
Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata 15 pakej terbabit akan disiapkan secara berperingkat.
“15 pakej kerja ini dijangka siap secara berperingkat bermula dengan empat pakej kerja yang dijadualkan siap pada tahun ini iaitu pakej WP5, WP15, WP21 dan WP27.”
“Daripada 15 pakej Pan Borneo yang sedang berjalan, terdapat beberapa pakej yang mengalami kelewatan disebabkan masalah di tapak seperti pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti,” katanya.
Bung Moktar berkata, antara kerja yang akan siap tahun ini ialah menaik taraf jalan dari Donggongon ke simpang jalan Papar Spur dan jalan Tawau-Semporna (Tawau-Sandakan) dijadikan dua hala.
Pada masa yang sama, jalan Lahad Datu Bypass di Lahad Datu juga akan turut dibina.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Dilantik (PAS), Dr Aliakbar Gulasan mengenai status pembinaan Pan Borneo dan kelewatan kontraktor yang memegang konsesi pembinaan lebuh raya terbabit ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.