PUTRAJAYA: Insiden kebakaran yang berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang semalam membabitkan beberapa bilik utama dilaporkan tiada unsur khianat atau jenayah.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata siasatan itu disahkan oleh pegawai daripada Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.
Beliau berkata, pasukan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Azlan Rahmat dibantu Unit Anjing Pengesahan (K9) tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.30 malam bagi menyiasat punca kebakaran tersebut.
“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada pejabat pentadbiran Bahagian Siasatan Jenayah yang merebak ke Pejabat Pegawai Penyiasatan Kanan (SIO) dan bilik mesyuarat Bahagian Siasatan Jenayah.
Beliau berkata, hampir kesemua ruangan pejabat di Bahagian Siasatan Jenayah mengalami kerosakan akibat kebakaran yang berlaku.
“Selepas pemeriksaan selama dua jam dijalankan, bomba mengesahkan tiada unsur khianat atau jenayah dikesan dalam kebakaran itu,” katanya.