MELAKA: Seramai enam warga Nigeria yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyamaran sebagai profesor dan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dengan tujuan melakukan pelbagai aktiviti penipuan dan mengedar dadah telah diberkas oleh pihak polis, semalam.
Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 5 hingga 10 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 44 tahun tersebut telah ditahan ketika sedang menjalankan kegiatan love scam dan penipuan bungkusan barang di sebuah premis di Bukit Beruang dan Ayer Keroh.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, serbuan berkenaan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di tiga lokasi berasingan.
“Pemeriksaan di lokasi telah mendapati skrip yang digunakan oleh semua suspek yang dipercayai untuk menipu mangsa dalam kegiatan love scam dan parcel. Selain itu, pihak kami turut menemukan botol dipercayai alat untuk menghisap dadah, serta satu peket dadah ketamin seberat 2.6 gram, tujuh peket ganja seberat 34.73 gram dan satu ketulan ganja mampat (600 gram) yang dianggarkan mencecah sehingga RM5,000,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Razali, salah seorang suspek bertindak menipu mangsa dengan menyamar sebagai profesor manakala tiga lagi pelajar menyamar sebagai penuntut IPTS.
“Berdasarkan siasatan dan rampasan kes, kami percaya sindiket ini telah aktif sejak enam bulan lalu.
“Suspek turut menggunakan gambar-gambar samaran lelaki kacak yang ditemukan dalam komputer riba mereka. Dokumen dan sijil digunakan juga amat meyakinkan dan sukar dibezakan sama ada ia palsu atau tulen,” katanya.
Susulan itu, pihak polis turut percaya dadah yang ditemukan adalah untuk diedarkan kepada pelajar IPTS di sekitar Ayer Keroh.
Kesemua suspek diremah tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 420 Kanun kerana menipu. – Utusan Malaysia