PUTRAJAYA : Elica Paujin, gadis berasal dari Sabah itu telah dinobatkan sebagai juara pada pentas akhir Big Stage 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
Beban emosi dan penghayatan jitu dalam persembahan Elica Paujin ketika mendendangkan lagu Cinta nyanyian asal, Marsha Milan malam tadi memberi kelebihan kepadanya untuk diangkat sebagai juara.
Elica meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi dan menewaskan empat peserta lain,
Kemenangan itu membuatkan Elica menitiskan air mata di pentas, Elica sangat terharu dan berterima kasih kepada semua pihak atas kejayaannya.
“Syukur kepada Tuhan atas rezeki yang diberi. Terima kasih kepada abang Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana beri banyak ilmu kepada saya.
“Juga ucapan terima kasih kepada peminat, ibu bapa dan Astro kerana memberi peluang kepada saya menyertai Big Stage 2022,” katanya.
Selain lagu Cinta, Elica juga tampil bersama Hael Husaini mendendangkan lagu Believer pada pentas akhir.
Tempat kedua dimenangi seorang lagi peserta berasal dari Sabah iaitu Danial Chuer yang membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi manakala tempat ketiga milik Aisha Retno yang membawa pulang wang tunai RM25,000 serta trofi.
Pada edisi keempat program realiti itu, Siti dan Ajai menduduki kerusi juri tetap dan Datuk Seri Vida bertindak sebagai Presiden Netizen. – BH