spot_img
HomeSemasaPenyanyi Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati

Penyanyi Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati

PETALING JAYA : Seorang penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Yasin dipercayai mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram itu di kediamannya di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Nama sebenar Muhammad Yasin Sulaiman berumur 47 tahun kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Namun begitu, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Seksyen.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. – HM

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular