spot_img
HomeSemasaData MySejahtera dipadam selepas 90 hari

Data MySejahtera dipadam selepas 90 hari

KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera kini semakin meluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat. Orang ramai dinasihatkan agar tidak gusar berkaitan data peribadi mereka di dalam aplikasi MySejahtera yang hanya digunakan untuk pengurusan pandemik COVID-19 sahaja.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MYSJ Sdn Bhd, Aiza Azreen Ahmad menjelaskan data terbabit akan diarkibkan dalam tempoh 30 hari sebelum dipadam selepas 90 hari.

“Data yang kita ada ini disimpan secara pelayan awan, tapi semuanya ada di Malaysia, tidak pernah keluar ke mana-mana dan data itu juga akan diarkibkan selepas 30 hari. Tiada siapa yang boleh mengakses data ini untuk dilihat mahupun digunakan. Selepas 90 hari setiap data akan dipadam serta merta. Pemadaman dibuat pada waktu tengah malam secara automasi tanpa campur tangan manusia,” katanya.

“Buat masa ini, apa sahaja yang kita perlukan dalam aplikasi MySejahtera adalah untuk untuk pengurusan pandemik. Data rakyat Malaysia dalam MySejahtera adalah data kerajaan,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan isu ini ketika menjadi panel jemputan program Malaysia Hari Ini bagi topik ‘Masih Perlukan MySejahtera?’ memandangkan terlalu banyak keluh-kesah segelintir pihak berkaitan isu ini.

“Penjelasan terperinci juga sudah diterangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung aplikasi ini. Malah saya juga pengguna MySejahtera dan data saya juga ada didalamnya,” tambahnya.

Sehingga kini aplikasi MySejahtera mempunyai 47 juta pengguna berdaftar dengan 29 juta adalah pengguna aktif. MySejahtera adalah aplikasi dilancarkan kerajaan pada April 2020 bertujuan memantau dan mengawasi penularan COVID-19 dalam kalangan penduduk.

Aplikasi ini membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal dan mengambil tindakan cepat bagi mengawal penularan COVID-19 melalui fungsi disediakan dalam aplikasi ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular