KUALA LUMPUR : Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di beberapa kawasan sekitar Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tempoh Sabtu hingga Ahad ini.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di Laut China Selatan dalam tempoh 8 hingga 10 April depan.
“Keadaan ini akan menyebabkan penumpuan angin dan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan,” tambahnya.
Menurut Helmi, hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah meliputi kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort); Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud); serta Kudat.
“Manakala di Sarawak pula membabitkan Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang; dan Labuan,’ tambahnya.
Menurut kenyataan, Helmi menasihatkan orang awam agar sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
“Talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638 juga boleh dihubungi untuk sebarang pertanyaan lanjut,” tambahnya.