KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama.
Kawasan yang terlibat adalah di kawasan perairan timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu.
Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikeluarkan pada 10 pagi tadi, keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang di kawasan perairan Sabah.
MetMalaysia menyatakan ribut tropika Megi itu berada di kedudukan kira-kira 144 km ke barat laut Surigao City, Filipina dan 950 km ke timur laut Sandakan, Sabah dengan kelajuan angin maksimum 65 km/j.
Justeru itu, MetMalaysia menasihatkan orang awam agar lebih peka dan mengikuti perkembangan semasa mengenai situasi tersebut.
Orang awam juga boleh mendapatkan maklumat yang dikemas kini setiap tiga jam di laman web dan aplikasi myCuaca ataupun talian hotline MetMalaysia.-Bernama