spot_img
HomeSemasaKes basikal lajak: Sam Ke Ting bebas dengan jaminan

Kes basikal lajak: Sam Ke Ting bebas dengan jaminan

Kuala Lumpur: Kerani, Sam Ke Ting, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebulat suara membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Panel membenarkan Ke Ting dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan permohonan wanita itu yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar untuk merayu sabitan kesnya di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, yang mewakili pendakwaam tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Oleh kerana kes itu pada asalnya bermula di Mahkamah Majistret, Ke Ting perlu mendapatkan kebenaran untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 (atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda) terhadap Ke Ping yang diperintahkan berkuat kuasa serta merta.

Dalam prosiding itu, Abu Bakar turut menolak permohonan wanita terbabit untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Terdahulu, sebuah tragedi berdarah berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta suspek.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular