KOTA KINABALU: Garis panduan baharu telah dikeluarkan bagi kemasukan pelancong antarabangsa ke Sabah melalui udara, darat dan laut.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, pelancong antarabangsa diberi pilihan menjalani ujian pengesanan COVID-19 RTK-Antigen, sebaik tiba di pintu masuk atau luar dalam tempoh 24 jam.
Begitu juga dengan pelancong transit antarabangsa, mereka diberi pilihan menjalani ujian pengesanan COVID-19 RTK-Antigen semasa tiba sama ada di pintu masuk antarabangsa atau di luar.
Beliau berkata, kes baharu COVID-19 Sabah menurun kepada 48 pada Isnin, terendah sejak 30 Mac tahun lepas.
Semua daerah menunjukkan tanda-tanda stabil dengan perubahan harian sederhana.
“Kecuali Kota Kinabalu yang mencatatkan 21 kes baharu, semua daerah lain di Sabah mencatatkan bawah lima kes. Tiada jangkitan baharu didaftarkan di 11 daerah dan lapan daripada 15 daerah hanya mencatatkan satu kes baharu setiap satu,” katanya.
Beliau menambah bahawa statistik jangkitan rendah membuktikan keberkesanan vaksin, diberikan kepada hampir semua penduduk yang layak di Sabah. – Daily Express