Langkawi: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau bimbang jumlah kes Covid-19 akan meningkat semula di negara ini sekiranya pilihan raya tersebut diadakan sekarang.
“Kes baharu Covid-19 didapati masih meningkat sehingga mencecah 3,000 kes sehari”
“Sekarang, mungkin bukan masa yang sesuai untuk PRU. Kita kena ingat bahawa Covid ini tak mudah kita tepis. Dia (Covid-19) mungkin ada di mana-mana sahaja”
“Mungkin ada pula nama jenis (varian) baharu yang akan menyerang kita (selepas PRU-15),” katanya.
Susulan itu, tambah beliau, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini apabila kes Covid-19 melonjak berbanding sebelum pilihan raya tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk hari ini.
Turut hadir isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.