TAWAU: Pasukan keselamatan telah menggagalkan cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga indonesia menyusup masuk untuk kembali bekerja di negeri ini selepas bercuti raya di negara asal, semalam.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua Pati berkenaan cuba menyusup masuk dengan menaiki sebuah bot lajut yang di kesan mendarat di kawasan penempatan atas air, sekitar jam 4.15 petang, di Kampung Titingan.
“Kesemua Pati tersebut dilihat menaiki sebuah teksi sebelum dibawa keluar dari kawasan pendaratan terbabit dan menuju ke pusat bandar.
“Tim Quick Reaction Force (QRF) kemudiannya mengekori teksi berkenaan sehingga ke Jalan Chen Fook sebelum pemandunya bertindak melarikan diri sebaik menurunkan kesemua Pati berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Karim, kesemua Pati berkenaan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
Kesemua Pati berkenaan kini ditahan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Hasil siasatan lanjut turut mendapati kesemua Pati tersebut mempunyai pasport dan permit kerja yang sah, namun tanpa cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah.
“Mereka didapati berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan mereka memaklumkan tujuan masuk ke Sabah adalah kerana ingin kembali ke tempat kerja selepas bercuti melawat keluarga di tempat asal sempena cuti hari raya,” katanya.
Kesemua Pati terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.