LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal tangka (tanker) yang didapati beroperasi menggunakan lesen yang tamat tempoh.
Pengarah Zon Maritim Labuan Kempten Maritim Nudin Jusoh berkata, kapal terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 10 pagi semalam.
“Setelah pemeriksaan dilakukan, didapati kapal berkenaan dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia dan India yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 42 tahun.
“Dua daripada lima kru berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri yang tidak lengkap.
“Kapal berkenaan didapati beroperasi dengan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) yang tamat tempoh serta dokumen kapal yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, kapal dan semua kru ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Saudagar (MSO 1942).
“Syarikat-syarikat perkapalan serta komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang yang termaktub bagi mengelakkan terbabit dengan salah laku dalam perairan negara,” katanya. – Utusan Borneo