KUALA LUMPUR: Merujuk kepada laporan analisis, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka akan lebih tidak menentu susulan daripada pelbagai perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia terhadap dasar minyak sawit negara itu.
Selepas mengumumkan penarikan semula larangan eksport produk minyak sawit bermula hari ini, kerajaan Indonesia pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa pelaksanaan semula dasar obligasi pasaran domestik memerlukan pengeluar menjual sebahagian daripada keluaran minyak masak kepada pasaran tempatan negara Indonesia bagi memastikan 10 juta tan minyak masak kekal dalam pasaran sekaligus mengekalkan harga minyak masak domestik di bawah kawalan.
PublicInvest Research berkata, dasar terbaharu itu bakal mengurangkan bekalan minyak sawit Indonesia dalam pasaran global, namun keputusan itu dilihat lebih baik daripada perlu menyekat aktiviti eksport secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, ia berkata, perubahan dasar minyak sawit dijangka menyebabkan lebih banyak turun naik tidak menentu terhadap harga MSM.
“Kami mengekalkan neutral pada sektor perladangan dengan unjuran penuh harga MSM pada RM5,000 satu tan,” katanya.
Selain bersedia mengenakan kuota obligasi pasaran domestik (DMO) pada 10 juta tan termasuk dua juta tan dalam rizab, kerajaan Indonesia juga merancang untuk menggunakan mekanisme kawalan harga minyak masak domestik. Kementerian perdagangan negara akan menentukan saiz DMO yang perlu dipenuhi oleh setiap pengeluar dan mekanisme untuk mengeluarkan dan mengagihkan minyak masak.
PublicInvest Research berpandangan, pihak berkuasa Indonesia harus mempunyai mekanisme yang ketat dan adil bagi memastikan semua pengeksport minyak sawit menyumbang kepada bekalan tempatan.
Hal ini demikian kerana, larangan eksport minyak sawit baru-baru ini telah meningkatkan stok minyak masak bulanan kepada 109 peratus daripada permintaan bulanan berbanding 33 peratus pada Mac dan menurunkan harga purata minyak masak pukal daripada 19,800 rupiah kepada 17,000 rupiah seliter.
“Menjelang musim pengeluaran yang tinggi, kami berpendapat dasar terbaharu itu mungkin juga bersifat sementara memandangkan stok minyak masak domestik boleh berkembang dalam jangka masa terdekat,” tambahnya.