TAWAU : Pasukan Polis Marin Tawau berjaya gagalkan cubaan sebuah Jongkong dipercayai menyeludup barang kawalan ke negara jiran di Kawasan Perairan Sungai Melayu, Tawau malam semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau, DSP Ridzauddin Bin Selamat berkata pihaknya telah menahan sebuah Jongkong yang dijuragani seorang lelaki berumur 25 tahun yang membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut Ridzauddin, hasil pemeriksaan dalam Jongkong tersebut telah menjumpai beberapa tong gas dan beberapa kotak minyak masak pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Juragan telah gagal menunjukkan surat daripada KPDNHEP untuk membawa minyak masak tersebut. Nilai rampasan termasuk sebuah jongkong dianggarkan sebanyak RM38,884.00, ” tambahnya.
“Tangkapan dan rampasan diserah kepada KPDNHEP Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, ” tambahnya lagi.
Kesempatan itu, Pasukan Polis Marin menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wil.4 Sabah di nombor 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.