KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan yang disambut di seluruh Sabah adalah simbolik kepada keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, pesta menuai merupakan bukti semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan latar belakang budaya di negeri ini. Pesta ini dapat dijadikan contoh untuk memacu pembangunan dan kemajuan di Sabah.
“Saya berharap perpaduan sebegini dapat dikekalkan dan dilindungi oleh rakyat Sabah pada masa akan datang,” katanya ketika Majlis Penutupan Pesta Kaamatan di dewan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang, hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu dan meraikan Kaamatan bersama orang ramai, memandangkan acara itu disambut secara maya sejak dua tahun lalu berikutan penularan wabak COVID-19.
“Perayaan Kaamatan bertemakan, Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi tahun ini akan dipertingkatkan bagi mewakili kejayaan integrasi dan persefahaman antara pelbagai kaum di Sabah,” tambahnya lagi.
Sabah memiliki keunikan kerana keharmonian dan budayanya selain dikurniakan persekitaran semula jadi yang indah, serta menjadi tarikan ramai pengunjung dalam dan luar negara.
Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400,000 lagi kepada persatuan kebudayaan di bawah Bajet 2022 negeri untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti kebudayaan, kesenian dan bahasa.
Jelas beliau, usaha tersebut untuk memelihara tradisi dan adat resam pelbagai etnik di Sabah sebagai aset berharga kepada sektor pelancongan.