KAPIT: Sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah peringkat negeri Sarawak yang diadakan hari ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan ikrar rakyat bahawa negeri Sarawak akan terus kekal dalam Persekutuan Malaysia.
Keprihatinan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik menyaksikan Sarawak perlu terus kekal dalam Persekutuan Malaysia.
“Sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan negara Malaysia, kita di Sarawak akan terus bersama dalam Malaysia dan membangun seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Sarawak mempunyai perancangan dan dasar mantap bagi memastikan keamanan, kemakmuran dan kemajuan dapat terus dikecapi. Menurutnya kerajaan Sarawak telah merancang pelbagai strategi termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang akan dilaksanakan bagi memastikan negeri ini terus membangun dan hasil ekonominya dapat terus diagih dengan menyeluruh kepada rakyat.
Kerajaan Sarawak menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam hingga lapan peratus setahun seterusnya untuk meningkatkan pendapatan rakyat negeri ini menjelang tahun 2030.
“Sambutan ulang tahun kali ini adalah acara tonggak pertama secara bersemuka diadakan susulan pandemik COVID-19 dan Sarawak akan menganjurkan lebih banyak lagi acara tonggak secara fizikal termasuk sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos,” tambahnya.
Seluruh rakyat Sarawak mengucapkan setinggi tahniah dan selamat hari keputeraan kepada Yang di-Pertuan Agong dan berdoa semoga baginda dan Permaisuri Agong serta keluarga baginda sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.