KOTA KINABALU: Sabah mengemukakan cadangan kepada syarikat penerbangan Singapura untuk melaksanakan penerbangan ke Sandakan dan Tawau.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, penerbangan terus dari Singapura ke dua daerah ini akan meningkatkan pelancongan dan hubungan ekonomi pada masa depan.
“Ketersediaan penerbangan terus akan membolehkan pelancong melawat lokasi seperti Pulau Sipadan, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan banyak lagi,” katanya ketika bertemu dengan Menteri dari Singapura, Menteri Negara Kanan merangkap Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara, Sim Ann.
Jelas beliau, kementerian akan membentangkan cadangan itu kepada beberapa syarikat penerbangan dengan secepat mungkin.
Dalam pada itu, pelancong yang transit boleh mengambil kesempatan untuk singgah di Sabah, berikutan Lapangan Terbang Changi adalah salah satu destinasi perjalanan udara utama Asia.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah juga giat terlibat dalam inisiatif business to business (B2B) dan business to customer (B2C) untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah.
“Dengan lebih banyak penerbangan terus tersedia, kami yakin potensi pertumbuhan sektor pelancongan bertambah baik,” tambahnya lagi.