PUTATAN: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah menahan tiga lelaki remaja yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 26 tahun dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan di Jalan Kota Kinabalu, Papar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, operasi berkenaan diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman dibantu oleh tujuh anggota yang bermula pada jam 11.00 malam dan berakhir sekitar jam 3.00 pagi tadi.
Menurut Mohd Haris, pasukan polis yang membuat rondaan di sekitar Pusat Membeli Belah One Place Mall telah mengesan tiga remaja lelaki yang sedang melakukan aksi ‘stuntman’ ketika menunggang motosikal di sekitar kawasan tersebut.
“Ketika intipan dilakukan, ketiga-tiga suspek berkenaan sama sekali tidak menyedari kehadiran pihak polis dan giat berlumba sesama sendiri sambil melakukan aksi bahaya secara ‘zig zag’ motosikal di sekitar Putatan.
“Ketiga-tiga suspek kemudiannya berjaya diberkas di sekitar lampu isyarat berdekatan sebuah stesen minyak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek turut didapati melakukan aksi berbahaya seperti lagak ngeri ‘superman’ serta melanggar lampu isyarat yang juga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Pihak kami turut menyita ketiga-tiga motosikal suspek dan sebanyak lima saman telah dikeluarkan ke atas kesalahan seperti mengubahsuai ekzos motosikal, halangan lalu lintas, nombof plat motor tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin pandang belakang dan aksesori motosikal yang tidak lengkap,” katanya.
Susulan itu ketiga-tiga remaja berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000. Jika sabitan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000.
DSP Mohd Haris turut menambah, pihak polis juga telah memeriksa 30 buah kenderaan dan mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas ketika Op Samseng Jalanan ini diadakan.
“Polis amat mengambil serius terhadap samseng jalanan yang semakin berleluasa di daerah ini, tindakan tegas bakal diambil kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan ini,” tegas beliau lagi.
Masyarakat terutamanya remaja dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan, termasuk peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala negatif ini.