KOTA KINABALU: UMNO Bahagian Kota Kinabalu menyokong penuh saranan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkenaan demokrasi dalam parti perlu harmoni tanpa halangan pihak tertentu.
Bung mengingatkan kepada para pemimpin UMNO di semua peringkat, tidak menyekat mana-mana cawangan untuk bergerak aktif termasuk penyertaan golongan muda dan profesional ke dalam parti.
Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata, kita tidak boleh takut kepada bayang-bayang sendiri hanya kerana kepentingan diri untuk mengekalkan jawatan peribadi.
“Tindakan sebegini boleh merencatkan perkembangan dan kemajuan parti serta menjadi penyebab golongan ini menjauhkan diri daripada UMNO,” katanya.
Tambahnya, adalah menjadi satu kerugian yang besar kepada parti jika golongan intelek dan anak muda yang penuh semangat ini menolak berjuang dalam UMNO.
Sikap menghalang tidak memberi ruang ini berlaku di dalam cawangan-cawangan UMNO di Malaysia.
“UMNO Bahagian Kota Kinabalu terbuka untuk semua rakyat termasuklah anak muda dan golongan profesional untuk bersama-sama UMNO dalam menentukan perjalanan politik dan pentadbiran negara”
UMNO Kota Kinabalu sedar, bahawa inilah masanya wajah orang-orang muda dan profesional diangkat dalam wadah perjuangan UMNO.
“Buktinya ada dari kalangan ketua-ketua cawangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu hari ini terdiri daripada kalangan anak muda dan professional,” jelasnya.