KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah longkang di Jalan Bambangan berhampiran Gaya Utama Inanam, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian dikesan sekitar jam 2.11 pagi selepas pihak Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mendapat laporan berkenaan kejadian tersebut.
Menurut Zaidi, sebaik mendapat laporan, pihak mereka telah menghantar sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang wanita di dalam longkang simen di tepi jalan berkenaan.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati mangsa telah meninggal sewatu ditemukan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Hasil soal siasat daripada pemilik sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian mendapati mangsa sebelum ini ada mengunjungi premis berkenaan.
“Mangsa kemudiannya didakwa berjalan kaki seorang diri untuk balik ke rumahnya.
“Pemilik restoran yang bimbang akan keselamatan mangsa yang mabuk cuba menjejaki mangsa bersama rakannya sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang tepi jalan berhampiran Gaya Utama,” katanya.
Susulan itu, hasil pemeriksaan terhadap mangsa bagaimanapun tidak mendapati sebarang perkara yang mencurigakan.
Mangsa didapati berumur dalam lingkungan 50-an namun butiran lengkap mangsa masih belum dapat dipastikan dan siasatan akan diteruskan.
“Mayat mangsa kini dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Kes Mati Mengejut,” katanya. – Utusan Borneo