KUNAK: Dato Sri Dr Anil Sandhu, Bendahari Pemuda UMNO Sabah membidas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang mencadangkan tema dan logo Hari Kemerdekaan Ke-66 berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita sudah ada perlembagaan, ada rukun negara. Kalau perkara ini dilanjutkan dan dibenarkan, nanti ada lagi pihak yang mahu menukar rukun negara dan perlembagaan negara,” tegasnya
Tambah Anil, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu siasat segera perkara ini.
“Soal politik sudah habis, jadi jangan dipolitikkan Hari Kebangsaan pula. Jangan semua perkara ingin dipolitikkan,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tema yang dipilih adalah ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ selaras dengan usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik dan memekarkan kecintaan rakyat terhadap negara.
“Kepada sahabat saya Ketua Pemuda PN, janganlah buat perpecahan. Boleh berbeza pandangan politik jangan pecahkan perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Anil yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu memberitahu, negara-negara luar berperang dan mundur akibat perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri.
“Kita tidak mahu ada perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia perlu dikekalkan dan dipertahankan,” katanya.