KOTA KINABALU: Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata tuduhan liar yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri Sabah mengenai isu permohonan tanah di Pulau Balambangan, Kudat itu secara jelas bermotifkan politik.
Tambah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), ia berniat untuk mencalarkan imejnya Hajiji yang begitu bersih.
“Keperibadian dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang lemah lembut dan tidak pandai menghentam pihak lawan menyebabkan beliau diserang secara peribadi”
“Keperibadian yang begitu baik tidak mungkin akan bertindak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi,” katanya.
Menurut beliau, proses permohonan tanah oleh ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Thomas Ha itu dibuat secara telus melalui proses undang-undang yang sah.
Ahli perniagaan itu melihat Pulau Balambangan berpotensi untuk pembangunan industri penternakan maka, beliau mengemukakan permohonan tanah mengikut prosedur sedia ada.
“Saya cukup kenal keperibadian Ketua Menteri. Saya percaya beliau tidak akan berani dan tergamak menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi.
“Jika benar berlaku salah guna kuasa seperti didakwa, buat sidang media secara terbuka. Jangan berselindung di sebalik media sosial dimana identiti pihak menuduh tidak dikenali.
“Tuduhan berniat jahat sebegini adalah satu tindakan tidak wajar dilakukan oleh pembangkang,” kata Pandikar Amin pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, memang terdapat sebahagian tanah untuk pembangunan industri silika di Pulau Balambangan namun, perjanjian yang ditandatangani antara anak syarikat Yayasan Sabah dan syarikat dari Sarawak semasa pemerintahan Parti Warisan telah dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat tertentu.
“Sekiranya gambar Ketua Menteri bersama Thomas Ha menjadi kayu pengukur tentang kredibilitinya sebagai pemimpin, harus diingat Thomas Ha juga pernah bergambar bersama Mohd Shafie Apdal semasa beliau menjadi Ketua Menteri.
“Sedangkan pemimpin itu ada kalanya kenal mahupun tidak dengan orang yang bergambar bersamanya jadi, janganlah pemimpin bergambar dengan sesiapa,” katanya.
Pandikar Amin juga mahu agar siasatan dilakukan terhadap individu yang membocorkan dokumen sulit kerajaan sehingga ia ditularkan dalam laman media sosial.
Katanya, politik itu berkisar kepada persepsi atau sangkaan buruk maka, wajar laporan polis dibuat dan mudah-mudahan kebenaran sebenar akan terungkai.
Beliau yakin apa juga tindakan dibuat oleh Hajiji, segala tindakan dibuat adalah mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. – Sumber Sabah Media