LAHAD DATU: Berikutan dakwaan kemasukan 10 lelaki bersenjata daripada Filipina yang menyusup masuk ke perairan Tambisan, tiada petunjuk yang membuktikan dakwaan tersebut.
Sebuah agensi berita melaporkan bahawa seorang lelaki melihat lebih 10 orang lelaki bersenjata dan berpakaian celoreng masuk melalui perairan Tambisan minggu lalu.
Lelaki tersebut juga mendakwa bahawa semua individu merupakan warga Filipina berbangsa Suluk.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis (IPK) Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menjalankan siasatan namun tidak mendapati sebarang petunjuk.
“Polis dan pasukan keselamatan lain sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di pantai timur negeri Sabah daripada sebarang ancaman.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang mengenai keselamatan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media.


