KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian UMNO Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh berharap kerajaan persekutuan komited dalam membantu mempercepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada tarikh yang ditetapkan.
Abd Rahman mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO, beliau bertegas dan berharap dilaksanakan dengan cepat Pan Borneo untuk pembangunan rakyat negeri Sabah.
“Jalan Pan Borneo antara Sindumin dan Melalia sebenarnya dalam fasa kedua, selepas Papar-Donggongon. Jadi diharapkan kerajaan mempercepatkan jalan Pan Borneo ini untuk kemudahan rakyat di Sabah, khususnya di Parlimen Sipitang,” katanya.
Jelas Abd Rahman, pembikinan Pan Borneo ini sudah terlalu lambat akibat senario politik di Sabah. Rintihan dan keluhan rakyat Sabah harus didengari.
“Di media sosial banyak keluhan rakyat berkenaan jalan raya di Sabah, tayar pecah, kereta rosak akibat jalan sangat teruk dan daif”
“Besarlah harapan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Sipitang, ada tindakan drastik pihak kerajaan untuk memercepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah untuk rakyat Sabah,” jelasnya.
Terdahulu,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO bercakap dalam dewan bersaksikan Perdana Menteri yang hadir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Pan Borneo dilaksanakan dengan cepat dengan bantuan kerajaan persekutuan.