KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM160 juta Bantuan Prihatin COVID-19 bagi untuk membantu semua lapisan masyarakat yang terjejas akibat wabak pandemik ini.
Bantuan itu adalah tambahan kepada peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada awal bulan ini.
“Peruntukan yang akan disalurkan itu akan melalui pelbagai kementerian dalam bentuk bantuan wang di mana ia bakal memberi manfaat kepada golongan terjejas dari pelbagai sektor pertanian, pelancongan (pemandu pelancong, porter, penyelam) dan pengangkutan (teksi, bas, lori) selain golongan seperti penjaja, anak yatim dan ibu tunggal,” katanya.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri hari ini berkata peruntukan terbabit juga akan turut diberikan kepada golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
“Dari peruntukan terbabit, sebanyak RM1 juta akan disalurkan kepada semua universiti untuk membantu golongan pelajar IPT yang terjejas disebabkan COVID-19,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Hajiji turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Sabah bagi membincangkan kaedah memperkasa ekonomi negeri Sabah. Keahlian anggota majlis yang bakal diumumkan itu membabitkan pihak industri, peniaga, persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga ahli akademik.

Exco Srikandi Bersatu Malaysia, Mizma Appehdullah menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Datuk Hajiji yang komited membantu kesemua lapisan masyarakat yang terjejas akibat COVID-19.
“Majlis Ekonomi Sabah adalah satu pelan tindakan pemulihan ekonomi yang terbaik untuk Sabah, bagi mendepani impak kejatuhan ekonomi negeri akibat penularan Covid-19. Pelan dasar yang teratur dan pengaplikasian jelas, mampu membantu negeri membangunkan semula ekonomi negeri” katanya.

Mizma yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Pemerkasaan Parti Srikandi Malaysia menyatakan, Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Menteri sedar bahawa rakyat Sabah ramai yang terjejas akibat penularan pandemik ini.
“Dana tambahan RM160 juta lagi bakal memanfaatkan rakyat negeri ini secara lebih menyeluruh menerusi kementerian dan disalurkan tepat ke sasaran mengikut sektor ekonomi rakyat masing-masing. Jelas sekali dana tambahan ini adalah insiatif terbaik kerajaan negeri selepas bantuan bakul makanan sebelum ini”.


