KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menggesa umat Islam agar menjadikan formula Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dalam membentuk masyarakat dan negara yang cemerlang.
Menurutnya, faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan baginda ialah mendahulukan pembangunan insan berbanding pembangunan dalam yang lain.
“Baginda telah menanamkan iman, menggilap jiwa dengan tauhid dan menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji dan inilah keteladanan yang tidak harus diabaikan.
“Pada hemat saya, di antara rahsia Baginda mengutamakan pembangunan insan ialah kerana insan merupakan jentera dan penggerak yang menjadi tonggak untuk melakukan sebarang pembangunan.
“Kalau jentera, penggerak dan tonggak berfungsi dengan elok, bukankah apa-apa jua yang dibangun nanti, akan mengikut elok juga?,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Sambutan Maulidur Rasul 1442H/2020M yang bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’, pada Rabu.
Mengaitkan dengan situasi semasa, Tun Juhar berkata krisis yang dihadapi kini dapat diatasi dengan menguatkan pegangan agama dan menghayati sunah, di samping ikhlas serta mengharapkan keredhaan Allah SWT.
“Jika kita kaitkan sedikit signifikan fenomena yang berlaku hari ini, di mana dunia sedang meratap kerana dilanda oleh pelbagai gejala buruk, samada krisis akhlak, ekonomi mahupun kesihatan.
“Fenomena atau krisis yang kita hadapi ini lantaran semakin lemahnya keimanan kita kepada Allah SWT.
“Saya percaya, hanya dengan menguatkan pegangan agama serta menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW sahaja, gejala ini akan dapat kita atasi, lantaran sifat kebersamaan kita dalam menghadapi situasi dengan penuh ikhlas dan mengharapkan reda Allah SWT semata-mata.
“Keimanan dan keikhlasan kepada Allah SWT itulah yang membuatkan kita kuat dalam menghadapi apapun permasalahan yang berlaku.
“Ikhlas juga adalah penawar atau ubat segala kepincangan khasnya dalam bidang pekerjaan atau tugas.
“Jika seseorang itu sungguh-sungguh ikhlas, maka sudah tentu dia akan bersih daripada sifat buruk, seperti tamak, hasad dengki, tidak amanah, rasuah dan seumpamanya,” ujarnya.
Tun Juhar turut menyeru rakyat akan menyebar kebaikan dan menanamkan sifat ihsan, saling mengasihi, simpati dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling terutama pada saat negeri dan negara sedang berdepan dengan situasi getir ketika ini.
“Allah bukan sahaja memerintahkan kita menjadi orang yang baik tetapi mesti memberi kebaikan.
“Ingatlah Allah memberikan pelbagai kebaikan kepada manusia berupa harta, ilmu, kuasa, kesihatan, iman dan sebagainya.
“Dengan segala yang baik itu, Allah inginkan hamba-NYA melakukan kebaikan kepada orang lain.
“Pemberian zakat, sedekah dan sebagainya daripada orang yang berkemampuan akan memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya.
Hadir sama di Istana Negeri ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (Jheains), Datuk Saifulzaman Sangul dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jheains, Baharuddin Alwi dan Urusetia Perayaan Hari Kebesaran Islam.
-utusanborneoonline