spot_img
HomeEkonomiBelanjawan 2021: RM300 juta pas My30, pas bulanan RM5 untuk pelajar sekolah

Belanjawan 2021: RM300 juta pas My30, pas bulanan RM5 untuk pelajar sekolah

Kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi meneruskan dan memperluaskan pelaksanaan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata inisiatif tersebut membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan harga RM30 sebulan.

Selain itu, beliau berkata pas perjalanan bulanan tanpa had dengan harga RM5 akan diperkenalkan untuk pelajar sekolah tahun satu hingga tingkatan enam.

“Mereka boleh menggunakan pas ini bagi perkhidmatan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dan tren Sabah di jajaran Beaufort-Tenom.

“Jika tambang sekarang secara puratanya ialah RM5 sehari, maka bermula tahun hadapan, tambangnya hanyalah RM5 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata menerusi belanjawan itu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti yang dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu akan diperluaskan secara berfasa.

“Program ini akan diperluas secara berfasa ke Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan dengan peruntukan RM150 juta,” katanya. 

Beliau berkata pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara akan dilanjutkan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata bagi pembangunan infrastruktur  pengangkutan pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 billion bagi membiayai antaranya projek Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar  Elektrik Gemas-Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama.

“Selain itu, beberapa projek lain juga akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodlands, Singapura dan MRT 3 (Transit Aliran Massa) di Lembah Klang,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut memperuntukkan hampir RM3.8 bilion untuk tujuh projek infrastruktur pengangkutan seperti projek fasa dua bagi pembinaan Jambatan Klang Ke-3 di Selangor, Projek Central Spine Road di jajaran baharu di Kelantan dan Pahang serta naik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu. 

Katanya projek lain di bawah peruntukan itu adalah naik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kulim, Kedah, projek fasa tiga bagi membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang, Selangor, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi pakej dari Serusop ke Pituru serta Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands, Pahang. 

-bernama 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular