PUTATAN: Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed berkata, pelan cadangan menyewa dua Kapal Penjanakuasa atau Karpowership daripada Turki dilihat sebagai langkah tidak tepat dan terburu-buru oleh Kerajaan Negeri dalam menangani masalah bekalan elektrik di negeri ini terutama di kawasan pantai timur Sabah.
Beliau dimaklumkan berikutan masalah kekurangan keupayaan penjanaan yang berlaku di Negeri Sabah, satu pelan mitigasi telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah iaitu projek penyewaan dua (2) buah Kapal Penjanakuasa ‘Karpowership’.
“Penggunaan kapal penjanakuasa ‘Karpowership’ di Sabah tidak seiring dengan komitmen Malaysia terhadap pelepasan sifar bersih di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR),” katanya.
Beliau berkata dua Kapal Penjanakuasa ‘Karpowership’ ini akan disewa daripada Turki dan melibatkan kapasiti penjanaan kuasa elektrik sehingga 224 Megawatt (MW) dengan menggunakan bahan api Minyak Bahan Api Berat (HFO) yang dibakar dalam Reciprocating Engine Generator.
Lokasi kapal-kapal berkenaan dilabuhkan dan diapungkan (floating anchorage area) yang dicadangkan adalah di kawasan berdekatan Pelabuhan Kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu dan pesisir Pantai POIC Sandakan.
“Pelan ini dilihat sebagai langkah tidak tepat oleh kerana teknologi yang digunapakai bukan daripada kategori pejanaan tenaga bersih dan ia menyimpang dari komitmen Malaysia terhadap pelepasan sifar bersih dibawah National Energy Transition Roadmap (NETR)”
“Malah, kos penyewaan dan penyelenggaraan kapal penjanakuasa ini dilihat akan menelan berbilion ringgit untuk tempoh lima tahun berbanding dengan penggunaan teknologi tenaga bersih yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata persoalannya kenapa teknologi ini menjadi pilihan, bagaimana pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar dapat mengecualikan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) oleh kerana aktiviti yang dicadangkan tertakluk EIA di bawah Aktiviti 11(a).
Jeffery berkata Jadual Pertama, Perintah EIA 2015, dan adakah tiada teknologi lain yang boleh mengatasi masalah yang sama dalam kadar segera menjadi tanda tanya, pembakaran bahan api HFO yang bersifat karsinogenik perlu diberi perhatian mendalam.
“Kesan buruk terhadap alam sekitar, perairan dan penduduk khususnya di Lahad Datu dan Sandakan juga perlu dipandang serius dalam perkara ini”
“Langkah terburu-buru ini dilihat dapat mendatangkan kesan lebih parah terhadap Negeri Sabah,” tegasnya.
Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah itu, mencadangkan Kerajaan Negeri menumpukan penggunaan Tenaga Diperbaharui (RE-Renewal Energy) untuk menambah bekalan elaktrik.
Katanya RE merupakan bentuk tenaga premier daripada sumber tidak habis seperti tenaga suria, biojisim, biogas, kuasa hidro, hibrid solar dan tenaga panas bumi.
“Penggunaan sumber RE adalah konsep mesra alam kerana ia bersih dan hijau yang menghasilkan sedikit pencemaran alam sekitar berbanding sumber tenaga tidak boleh diperbaharui.
“Ia juga sumber tenaga yang terus dihasilkan oleh sifatnya. Sumber-sumber ini juga tidak boleh secara langsung menyediakan tenaga, namun sumber tenaga boleh berubah menjadi bentuk tenaga boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan RE tidak hanya memberi manfaat kepada kelangsungan sumber bahan mentah sebaliknya turut mesra alam kerana ia melindungi pelepasan karbon kepada alam sekitar. – Sabah News Today