KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) mengumumkan perincian aktiviti dan sukan yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata perincian ini dikeluarkan bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menyebabkan penggiat sukan melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut beliau, pengumuman perincian ini melibatkan pembahagian lima kategori sukan iaitu Sukan Individu/Rekreasi, Sukan Seni Mempertahankan Diri (Martial Art), Sukan Raket, Sukan Kemahiran dan terakhir Sukan Berpasukan.
Katanya, sukan Individu/Rekreasi melibatkan aktiviti berjalan dan berlari anak (jogging), berbasikal, kembara belukar (hiking), memancing, golf, Sukan Elektronik (E-Sports), olahraga, angkat berat, snuker dan biliard, boling padang, tenpin boling, petanque, catur, karom, mendaki tembok (rock climbing), paragliding, sukan tarian (dance sports), latihan gimnasium, senamrobik kendiri, berlatih di lapang sasar golf (Golf Driving Range), sukan lasak (Extreme Sports) dan sukan permotoran.
Khusus untuk sukan golf, beliau berkata semua operator harus memastikan hanya seorang pemain dibenarkan duduk dalam satu buggy sepanjang permainan dan penggunaan partisan atau pembahagi plastik adalah dilarang sama sekali.
Untuk Sukan Seni Mempertahankan Diri (Martial Art), Ellron berkata hanya disiplin seni dibenarkan dan latihan untuk disiplin tempur adalah dilarang sama sekali. Sukan-sukan yang terlibat ialah sukan pencak silat, karate, taekwondo, silambam, wushu, judo, shorinji kempo, muaythai dan akido.
Bagi Sukan Raket, beliau menjelaskan hanya acara perseorangan yang dibenarkan yang mana ia melibatkan sukan badminton, ping pong, tenis, squash dan tenis ringan (soft tennis).
“Manakala, sukan kemahiran yang terlibat ialah memanah, lawan pedang, pelayaran, gimnastik, menembak serta kayak dan kanu,” tambahnya.
Untuk Sukan Berpasukan pula, Ellron berkata hanya latihan kecergasan (fitness) dan latihan kemahiran secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan.
Ini melibatkan sukan hoki, bola jaring, bola keranjang, sepak takraw, ragbi, kriket dan bola sepak.
“Namun demikian, ingin saya tegaskan bahawa pelaksanaan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipatuhi sepenuhnya tanpa gagal.
“Ini termasuk pendaftaran pengguna menerusi aplikasi MySejahtera/SabahTrace atau buku catatan kehadiran yang wajib disediakan oleh pihak pemilik/pengurus/operator vanue, penyediaan cecair pembasmi kuman di semua pintu masuk, imbasan suhu untuk semua pengguna, menyahkuman semua peralatan sebelum, setiap kali selepas penggunan dan selepas operasi. Tiada perkongsian peralatan termasuk gelas, tuala dan `exercise mat’.
“Semua penanda dan pandu arah perlu disediakan dengan jelas termasuk arahan penjarakan sosial iaitu jarak 1-3 meter untuk aktiviti statik (setempat) dan jarak 3-5 meter untuk aktiviti dinamik (pergerakan).
“Semua pengunjung juga perlu sentiasa memakai pelitup muka kecuali semasa melakukan senaman atau latihan, tiada bayaran tunai terlibat (transaksi), dan semua penggiat berumur 12 tahun ke bawah serta golongan berisiko tinggi yang berumur 60 tahun ke atas adalah ‘Tidak’ digalakkan mengunjungi pusat sukan buat sementara waktu,” jelas Ellron dalam satu kenyataan semalam (13 November).
Dalam pada itu, Fasa Pembukaan untuk aktiviti sukan dan rekreasi yang diumumkan oleh MKN Negeri Sabah pada 10 November 2020 adalah untuk aktiviti tidak bersentuhan fizikal bagi sukan luar dan dalam bangunan dan dijalankan secara individu atau berkumpulan tidak melebihi 10 orang dalam satu-satu masa.
Aktiviti di dalam daerah/kawasan yang sama dan terbuka sahaja adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP Sektor Sukan dan Rekreasi.
Kebenaran beroperasi dan menggunakan fasiliti sukan oleh orang awam adalah terhad bagi aktiviti latihan yang tidak melibatkan sentuhan fizikal dan maksima 10 orang sahaja.
Setiap pengusaha dan operator sukan perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta dengan menghadkan jumlah tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa.
Program latihan berpusat yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah boleh diteruskan secara ‘Quarantine Based Approach’ dengan mematuhi SOP yang disediakan oleh pihak KBSS.
Masa aktiviti dan penggunaan yang dibenarkan bermula 6 pagi hingga 10 malam.
Sehubungan dengan itu juga, maklumat dan keterangan lanjut berkenaan SOP Sukan dan Rekreasi boleh diperoleh dengan menghubungi Pengarah MSN Sabah Mohd Asneh Mohd Noor di talian 013-8703107, Valerie Wong di talian 019-8808198 atau Desmond Qwek di talian 014-8675666.
-UBSO


