KUALA PENYU: Sekolah Kebangsaan Menumbok telah menganjurkan Klinik Bola Sepak peringkat darah Kuala Penyu, pada ahad.
Kerjasama Pasukan Tunas Akademi Bola Sepak (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) ini, dirasmikan oleh Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat.
Klinik ini, memberikan pendedahan awal kepada peserta tentang teknik-teknik penting dalam sukan bola sepak seperti pengawalan bola, passing, mengelecek, menanduk menjaring dan menyerkap.
Awang Aslee berkata, program ini menanamkan minat mendalam dalam kalangan pelajar tentang sukan bola sepak yang merupakan sukan teras dalam negara.
“Klinik ini boleh mengesan awal pelajar-pelajar yang mempunyai potensi tinggi untuk diserapkan ke pasukan utama sekolah, daerah dan negeri Sabah”
“Seterusnya peluang mereka untuk menjadi pemain utama negara apabila mereka mencecah umur 12 tahun ke atas,” katanya.
Sukan bola sepak bukan sahaja memberi kecergasan fizikal dan minda pelajar, ia juga menghindari pelajar dari terjebak dengan aktiviti kurang sihat.
“Bagi memastikan sukan bola sepak ini berkembang dalam kalangan pelajar dan generasi muda di daerah ini”
“Maka UMNO Bahagian Beaufort dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Beaufort akan menubuhkan Akademi Bola Sepak daerah Menumbok sebagai program perintis sebelum Akademi ini dikembangkan di peringkat daerah Kuala Penyu dan Beaufort,” katanya.