spot_img
HomeUncategorizedKes rasuah, lapan kakitangan JPJ antara sembilan direman

Kes rasuah, lapan kakitangan JPJ antara sembilan direman

Lapan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah adalah antara sembilan individu yang direman pagi ini, selepas disyaki terbabit dalam rasuah dan melindungi lori pengangkutan di negeri itu.

Semua suspek berusia 29 hingga 63 tahun terbabit ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sekitar Alor Setar dan Kulim bermula jam 8.25 pagi hingga 7.45 malam tadi.

Difahamkan, lapan kakitangan JPJ Kedah termasuk seorang wanita disyaki terbabit menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan bagi mengelak tindakan diambil ke atas lori milik syarikat terbabit.

Antara kesalahan dilakukan lori milik syarikat pengangkutan terbabit adalah membawa barangan lebih muatan dan lori tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seorang lagi ialah pesara dipercayai terbabit menjadi orang tengah syarikat pengangkutan terbabit dalam berurusan bersama kakitangan penguatkuasaan berkenaan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Operasi SPRM Kedah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sama dilakukan kakitangan JPJ Pulau Pinang yang ditahan pada 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kenyataan penuh berhubung operasi akan dibuat SPRM Putrajaya dalam tempoh terdekat. -BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular