spot_img
HomeSemasaKerajaan negeri terima RM200,000 sumbangan Kanger International Bhd

Kerajaan negeri terima RM200,000 sumbangan Kanger International Bhd

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada sebuah syarikat pelaburan iaitu Kanger International Bhd dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Kanger turut menawarkan untuk menyumbang Sinopharm Vaksin COVID-19 yang juga merupakan pengedar sah vaksin ke Malaysia, khususnya Sabah.

Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya akan menerima tawaran vaksin berkenaan selepas diberikan lampu hijau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan terima kasih kepada syarikat berkenaan atas sumbangan bagi memerangi COVID-19 di Sabah.

“Saya berharap lebih ramai lagi akan tampil dan mencontohi niat murni Kanger,” katanya dalam satu kenyataan selepas menerima taklimat ringkas di Pejabatnya Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Hajiji turut gembira melihat kini lebih ramai orang mula sedar bahawa pentingnya untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Katanya, walaupun terdapat tuduhan tidak berasas mengenai vaksin berkenaan, tetapi kini ramai sudah yang tampil ke pusat vaksinasi bagi mendapatkan vaksin itu.

Sehingga kini katanya, Sabah telah menerima sebanyak 223, 470 dos vaksin untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan daripada kerajaan Pusat.

Katanya, program itu kini dalam perlaksanaan fasa kedua sehingga Ogos depan.

Bagaimanapun, sehingga 19 Mei 2021, hanya 17 peratus atau 498,392 telah mendaftarkan diri untuk program berkenaan.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kumulatif vaksin yang sudah diberikan kepada penerima adalah sebanyak 156,275. Mereka yang telah selesai mendapatkan dos kedua suntikan itu seramai 59,904 dan seramai 96,371 telah menerima suntikan dos pertama.

Berikutan itu, Hajiji sekali lagi menyeru agar rakyat Sabah segera untuk mendaftarkan diri di MySejahtera bagi mendapatkan vaksin itu.

Katanya, kerjasama daripada rakyat sangat penting dalam usaha mencapai imuniti secara berkelompok seterusnya menghentikan penularan pandemik COVID-19.

Sebanyak 20 buah klinik persendirian di Sabah juga akan menjadi pusat vaksinasi dalam masa terdekat dengan tambahan klinik-klinik yang terletak di 24 buah hospital, 28 buah klinik kerajaan dan 24 fasiliti kementerian bukan kesihatan seperti bangunan kerajaan.

Hadir sama untuk menyerahkan sumbangan itu adalah Pengarah Eksekutif Kanger International Bhd Steven Kuah.

Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Sementara itu, Steven dalam satu sidang media menjelaskan sumbangan itu adalah bagi membantu Sabah yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Katanya, Sabah melaporkan hampir 60,000 kes COVID-19, kedua terbanyak selepas Selangor. Jumlah kematian juga adalah kedua tertinggi di Malaysia iaitu 450 kematian dicatatkan.

“Syarikat ini juga akan menyumbangkan sebanyak 5,000 dos Sinopharm vaksin COVID-19 kepada Sabah secara percuma.

“Vaksin ini telah mendapat kelulusan oleh badan dunia untuk digunakan di 42 buah negara, 200 juta dos sudah dibekalkan secara global,” katanya.

Syarikat berkenaan kini dalam proses mendapatkan kebenaran untuk mengedarkan Sinopharm di Malaysia dan menerokai peluang yang terdapat di Sabah. -UBSO
 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular