KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai pasukan baharu yang akan disertai bekas tonggak pertahanan Perak FC, Nazirul Naim Che Hashim akhirnya terjawab.
Ia selepas pasukan Liga Super, Sabah FC mengumumkan pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya itu menjadi pemain terbaru skuad Badak.
Berita itu turut menarik perhatian peminat bola sepak tanah air apabila ada yang menganggap penyokong Sabah sebagai ‘masin mulut’ kerana pernah meminta Nazirul menyertai pasukan mereka sebelum ini.
Video gurauan penyokong Sabah yang meminta Nazirul menyertai Sabah sekiranya berdepan dengan masalah gaji kembali tersebar di media sosial dan ia dipercayai dirakam ketika Perak FC berkunjung ke Stadium Likas, sebelum ini.
Nazirul sebelum ini mengakui keputusan sukar berat untuk meninggalkan pasukan negeri kelahirannya, Perak yang disertai sejak 2016.
Menerusi laman Instagram miliknya hari ini, Nazirul berharap perpindahan ke Sabah menjadi episod baharu buat dirinya dalam bola sepak.
“Perjalanan baharu, harapan baharu, episod baharu. Terima kasih Sabah FC,” tulisnya.
Keputusan untuk berhijrah yang dibuat Nazirul boleh dianggap bukan mengejutkan selepas beberapa tonggak utama skuad Bos Gaurus sebelum ini sudah ‘angkat kaki’ selepas didakwa berdepan masalah pembayaran gaji. -BH


