spot_img
HomeSukanDion Cools perkuat Harimau Malaya

Dion Cools perkuat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini secara rasmi memperkenalkan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan ini.

Pengumuman rasmi dibuat menerusi media sosial rasmi FAM, awal pagi tadi dengan Cools, 25, terus dibawa bertemu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di hotel penginapan pasukan sejurus tiba di Dubai.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, proses penukaran status pasukan Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas pemain itu sendiri menyatakan minat dan bersetuju memilih Malaysia sebagai negara ingin diwakilinya di peringkat senior.

Jelasnya, biarpun mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Cools masih layak menyarung jersi Harimau Malaya namun perlu mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga warga negara Malaysia.

“Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA).

“Setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

“FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA. Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut,” katanya.

Menurut Stuart, selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya.

“Junjung kasih juga kepada Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior,” katanya. -BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular