“Begitu juga perniagaan. Jika kewangan terkesan disebabkan sekatan pergerakan penuh, mereka boleh memohon moratorium dan akan diberikan secara automatik.
“Ia termasuk perniagaan yang berada dalam sektor tidak dibenarkan beroperasi oleh MKN sepanjang tempoh ini.
“Perniagaan dan individu yang terjejas layak mendapat bantuan moratorium. Namun, bagi yang tidak terjejas, mereka boleh membayar pinjaman seperti biasa,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, bantuan moratorium secara bersasar turut dilaksanakan di beberapa negara, tidak hanya di Malaysia.
Jelasnya, tiada negara yang memberikan moratorium menyeluruh kepada semua perniagaan dan individu, sama ada mereka yang terjejas pendapatan mahupun tidak.
“Moratorium bersasar yang dilaksanakan kerajaan juga seiring dengan pelaksanaan negara lain seperti United Kingdom, Australia dan Singapura.
“Pendekatan ini sama, membantu golongan yang terkesan. Jika terkesan, mereka harus dibantu,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sepanjang krisis COVID-19, kerajaan terus menyalurkan bantuan tunai secara langsung kepada golongan terjejas.
Beliau berkata, jumlah besar bantuan tunai secara langsung kepada rakyat bagi keseluruhan 2021 adalah sebanyak RM16.7 bilion.
Katanya, pelbagai bantuan masih dalam proses pelaksanaan dengan baki peruntukan untuk tempoh Jun hingga Disember 2021 adalah sebanyak RM8.1 bilion.
“Bagi kelangsungan perniagaan, kerajaan sudah memberi bantuan tunai RM14.1 bilion pada tahun ini.
“Bantuan kepada perniagaan juga masih belum berakhir. Sejuta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) pada hujung Jun dan Julai.
“Peruntukan Subsidi Upah juga masih berbaki RM6 bilion untuk disalurkan. Dengan kata lain, kerajaan menampung dan membayar gaji rakyat yang terkesan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, selain bantuan langsung, kerajaan juga menyediakan bantuan tidak langsung dan subsidi yang diunjurkan mencecah RM15 bilion tahun ini, berbanding hanya RM9 bilion pada 2020.
Beliau berkata, dengan kenaikan harga minyak global, kerajaan juga akan memastikan impak kenaikan kos sara hidup rakyat dihadkan.
“Antara inisiatif kerajaan termasuklah menetapkan harga siling runcit RON95 pada paras RM2.05 satu liter, serta subsidi pek satu kilogram minyak masak pada harga RM2.50.
“Secara keseluruhan, bagi Januari hingga Mei saja, kerajaan menanggung RM4 bilion dari segi peruntukan subsidi untuk tahun ini,” katanya. -BH