KOTA KINABALU: Bantuan bakul makanan dibawah program Bantuan Prihatin 3.0 COVID-19 berjalan lancar di seluruh daerah di negeri ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, kerajaan negeri telah memperuntukan sejumlah RM34,366,500 juta untuk bantuan bakul makanan yang telah dan sedang diagih-agihkan kepada golongan yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.
Bagi kawasan Lamag Bung yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar dibantu oleh Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) di kawasan masing-masing diberikan tanggungjawab untuk menyelaras dan menyampaikan bantuan kepada penerima.
“Setakat ini di kawasan saya (DUN Lamag) proses agihan berjalan lancar, bagaimanapun masih ada beberapa buah kampung yang sedang diuruskan penghantarannya disebabkan faktor perhubungan selain pematuhan kepada prosedur operasi standrad (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).
“Bagaimanapun saya memberi jaminan semuanya akan menerima bantuan tersebut, ” katanya ketika ditemui di sini selepas menghadiri mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) kelmarin.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya selain agihan bakul makanan (UPPM) Lamag bersama JPKK juga telah diminta untuk menyampaikan maklumat pemberian vaksin COVID-19 dan dipertanggungjawabkan untuk mendaftarkan penerima yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Setakat ini penerimaan rakyat di DUN Lamag terhadap pemberian Vaksin COVID-19 amat positif dan saban hari ada mendaftar dan saya difahamkan pihak Hospital dan Jabatan Kesihatan telahpun turun padang ke kawasan-kawasan kampung yang jauh untuk memberikan vaksin kepada penduduk,” tambah Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, setakat ini lebih dari 3,000 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 19 buah kampung telah menerima bantuan bakul makanan mereka masing-masing, hanya tinggal 5 buah kampung yang belum menerimanya.
“Insyallah Ahad ini kesemua kampung akan menerima bantuan Bakul makanan dimana Bung selaku ADUN Kawasan ini akan menyampaikanya di kampung Balat dan Sangau,” katanya.
Dalam pada itu Abu Bakar turut meminta sekiranya ada penduduk yang tercicir dari menerima bantuan bakul makanan supaya menghubungi JPKK masing-masing bagi mempastikan bantuan bakul makanan dapat disalurkan segera. – UTUSAN BORNEO ONLINE


