TOKYO: Tiada alkohol, tiada pelukan, tiada sorakan dan tiada tandatangan.
Itu antara peraturan baharu yang didedahkan penganjur Sukan Olimpik Tokyo buat penonton pada temasya yang berlangsung dalam situasi pandemik COVID-19.
Presiden Tokyo 2020, Seiko Hashimoto memberi amaran betapa peraturan itu terpaksa dilaksanakan bagi memastikan temasya berlangsung dalam keadaan selamat, selain pihak penganjur perlu menjadi kreatif bagi menyemarakkan atmosfera pertandingan.
Isnin lalu, ketua Olimpik Tokyo memutuskan untuk membenarkan lebih 10,000 penonton dalam setiap venue pertandingan, namun Hashimoto kemudian memberi amaran kepada mereka supaya tidak terlalu menjangkakan mood festival seperti mana diraikan di Euro 2020.
“Di Eropah, venue dipenuhi dengan keraian,” katanya.
“Malangnya, kami tidak boleh melakukan perkara sama.
“Penonton perlu mematuhi peraturan antivirus, termasuk pemeriksaan suhu dan memakai pelitup muka sebelum memasuki venue dengan tiada tolak ansur dalam aspek itu.
“Selain itu, mereka dilarang bersorak atau melakukan kontak rapat dengan penonton lain dan diminta pulang selepas tamat pertandingan. Meminta autograf atlet atau menyatakan sokongan secara lisan turut tidak dibenarkan.
“Orang ramai boleh merasai keseronokan dalam hati mereka, tetapi mereka tidak boleh dengan kuat dan mereka perlu mengelak daripada berkumpul.
“Kami perlu menjadi kreatif dan kami meletakkan banyak usaha untuk melaksanakannya dengan cara baharu untuk meraikannya,” katanya. – BERITA HARIAN


