KOTA KINABALU : Perkhidmatan kereta api bagi laluan Tenom-Pangi dan Rayoh ditutup buat sementara waktu kerana kerosakan teruk pada landasan akibat banjir berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut pada 20 hingga 23 Mei lepas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) ketika ditemui berkata operasi perkhidmatan bagi laluan berkenaan akan mengambil masa untuk dipulihkan.
Katanya beberapa kerosakan besar ditemui antara landasan dan batu di landasan dihanyutkan banjir, tanah dan tebing runtuh di KM 114 Rayoh KM124 dan KM130 Pangi.
“Kerja-kerja kecemasan bagi membaiki landasan tersebut sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan, bagaimanapun kita berharap kontraktor pelaksana akan dapat membuat kerja memindahkan (realigment) landasan sementara dapat dilaksanakan dengan segara agar perkhidmatan seperti biasa dapat diadakan, ” katanya.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian sebagai mengulas rungutan penduduk khususnya di Pangi yang tular di media sosial, yang terpaksa menggunakan ‘motosikal troli’ atau torli haram sebagai kenderaan mereka untuk ke pekan Tenom membeli keperluan atau mengeluarkan hasil tanaman mereka untuk dipasarkan.
Menurut Bung bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) telah menyediakan sebuah troli pemeriksaan ‘Inspection Troli’ (IT) di Rayoh dan sebuah lagi di Pangi bagi menggantikan perkhidmatan keretapi penumpang.
“Hanya troli pemeriksaan (Inspection Troli) sahaja yang boleh melalui kawasan landasan yang rosak dari tempat asal ke KM135 sebelum menaiki DMU dari KM135 hingga ke Tenom,” jelas Bung.
Tambah Bung troli pemeriksaan hanya boleh dinaiki dengan kapasiti enam hingga lapan orang penumpang sahaja dan ianya bersedia sebagai pengangkutan penduduk bagi kes-kes kecemasan sepanjang 24 jam dan orang ramai khususnya di kawasan terlibat boleh berhubung dengan JKNS di kawasan berkenaan sekiranya berlaku kes kes kecemasan.
“JKNS sedang berusaha untuk menambah bilangan IT di kawasan terjejas dan ianya beroperasi mengikut jadual perkhidmatan sedia kereta api Rayoh-Tenom dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” tambah Bung.
Sehubungan dengan itu Bung berharap penduduk yang terlibat bersabar kerana apa yang berlaku ini sukar dijangka disebabkan faktor bencana alam, bagaimanapun JKNS sedang bertungkus lumus untuk menyelesai dan memperbaiki landasan agar perkhidmatan kereta api pulih seperti sediakala. – USBO