spot_img
HomeEkonomiPEMULIH bantu semua lapisan masyarakat - Zulkifli Mohamad

PEMULIH bantu semua lapisan masyarakat – Zulkifli Mohamad

KUALA LUMPUR: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diyakini bakal memanfaat dan meringankan beban lebih ramai asnaf serta golongan yang terjejas ketika pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bantuan PEMULIH mencakupi semua lapisan masyarakat terkesan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan ketika ini.

Beliau berkata, PEMULIH adalah pelengkap kepada inisiatif diumumkan kerajaan sebelum ini, sekali gus diharap dapat membantu rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh sukar kini.

“Inisiatif PEMULIH dilihat membantu golongan rentan, asnaf, graduan, belia serta usahawan, peniaga kecil, pengusaha perusahaan dan semua yang terkesan akibat pandemik.

“Inilah yang saban hari dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi mengurangkan beban dan keluh-kesah rakyat dalam menghadapi kehidupan semasa fasa pemulihan pandemik.

“Dengan inisiatif ini, rakyat akan dapat terus berbelanja dan memastikan ada makanan di atas meja untuk meneruskan kelangsungan hidup pada saat yang sukar serta mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PEMULIH bernilai RM150 bilion sebagai bantuan menyeluruh kepada rakyat susulan pelaksanaan sekatan pergerakan terbaru.

Pakej bantuan PEMULIH merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Mengulas lanjut, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, bantuan Musaadah COVID-19 yang dilaksanakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan tetap diteruskan, seiring dengan inisiatif PEMULIH.

Beliau berkata, bantuan itu yang dilancarkan pada Mac tahun lalu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri, sudah membelanjakan lebih RM500 juta, setakat Jun tahun ini.

Sejak 1 Januari hingga 28 Jun lalu, katanya, Musaadah COVID-19 sudah membelanjakan sebanyak RM160.4 juta bagi membantu golongan terkesan.

“Agihan bantuan adalah dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil unit rawatan rapi (ICU), monitor ICU, pam picagari, pam infusi, mesin BIPAP, ventilator dan lain-lain), projek baik pulih serta bina rumah, komputer riba dan sebagainya.

“Bantuan Musaadah akan tetap diteruskan bagi memastikan tiada rakyat terkesan yang tercicir dan tertinggal daripada dibantu, kerana tanggungjawab sesebuah kerajaan ialah memastikan rakyat mampu meneruskan hidup walaupun dalam tempoh sukar,” katanya. -BERITA HARIAN

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular