Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempercepat penghantaran bekalan vaksin Covid-19 ke Sabah.
Katanya, kerajaan negeri telah membuka 151 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Sabah dan sudah menjalankan program jangkauan ke pedalaman.
“Tetapi kerana bekalan vaksin masih kurang ianya memberi kesan terhadap Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang bermula pada bulan ini”
“Diharap bekalan vaksin dapat sampai ke Sabah secepat mungkin, demi mencapai matlamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu sehari 30,000 orang menerima vaksin,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Terdahulu semasa mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah, Datuk Seri Wong Khen Thau. Hajiji turut membincangkan kesan pandemik terhadap ekonomi negeri Sabah.
Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri akan terus memastikan lebih ramai orang yang diberi vaksinasi bagi membendung penularan virus covid-19. Selain itu, pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat akan dilaksanakan di negeri ini.


