KOTA KINABALU: UMNO Sabah kekal pendirian mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pengerusi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Jelas Bung Moktar lagi, pendirian itu turut dinyatakan pihaknya dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita tetap mempertahankan GRS dan terus menghormati mandat rakyat. Kita baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan GRS masih berfungsi bagi menjalankan tugas kesejahteraan demi rakyat Sabah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata demikian bagi mengulas isu kemelut UMNO Pusat yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam. – ASTRO AWANI