KOTA KINABALU: Kluster Lumadan di Beaufort mencatat 46 kes positif COVID-19 sehingga hari ini. Jangkitan tersebut turut melibatkan ahli keluarga dan rakan sekerja dari pelbagai lokaliti di sekitar Mukim Lumadan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster tersebut tersebut tercetus akibat kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika bermain secara berkumpulan.
“Kes indeks adalah lelaki, 19 disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag 100 peratus di Klinik Subha Beaufort pada 29 Jun 2021, selepas bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun 2021.
“Bermula dari 29 Jun 2021 sehingga 8 Julai 2021, terdapat 46 kes termasuk dua kes baharu semalam daripada 110 saringan yang dijalankan. Kadar positif adalah sebanyak 41.81 peratus,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Dalam masa yang sama, satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Istimewa Dua yang melibatkan jangkitan dalam komuniti di lokaliti Kg. Istimewa, Sandakan.
Jangkitan dalam lokaliti tersebut merupakan kes yang pernah dilaporkan sebelum ini iaitu pada 14 November 2020.
“Kali ini, kes indeks merupakan lelaki, 48, dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 25 Jun 2021 di Klinik Kesihatan Sandakan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Sehingga 8 Julai 2021 Sabah merekodkan kes positif baharu COVID-19 sebanyak 279 kes dengan jumlah kumulatif 71,468 kes.