spot_img
HomeSemasaBantuan bakul makanan, punca bekalan gula minyak masak paket kurang

Bantuan bakul makanan, punca bekalan gula minyak masak paket kurang

TAWAU: Program bantuan bakul makanan kepada masyarakat antara salah satu punca berlakunya masalah kekurangan gula dan minyak masak paket di daerah ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau yang menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan mendapati barang kawalan itu masih mencukupi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Aslani Dabi berkata dua barang kawalan tersebut masih ada dijual dan tidak ada kejadian kehabisan stok di daerah ini.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan memang berlaku sedikit kekurangan untuk kedua-dua barang keperluan itu kerana ianya merupakan bahan utama di dalam bantuan bakul makanan”

“Kami menyarankan kepada pihak yang mahu memberikan bakul makanan perlu mendapatkan terus bekalan itu daripada pihak pemborong bukannya peruncit,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan keatas pemborong di daerah ini, mereka sudah mendapat bekalan gula sebanyak 324 metrik tan pada bulan Jun.

“Pemborong juga akan mendapat sebanyak 288 metrik tan lagi pada bulan Julai dan dijangka bekalan akan tiba di Tawau sehingga akhir bulan ini dan sterusnya”

“Pemborong utama memaklumkan tempahan bulanan bekalan gula telah dibuat keatas pengilang di semananjung dan bekalan akan tiba mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Aslani berkata masalah kekurangan bekalan gula di Tawau ini dijangka akan stabil sepenuhnya pada bulaan Ogos depan.

“Namun, buat masa ini bekalan yang sedia ada sedang dan sudah diedarkan kepada pemborong kedua dan peruncit,” tambahnya lagi.

Beliau berkata peruncit biasanya mendapat bekalan minyak masak paket dan gula daripada pemborong dengan kekerapan satu hingga dua kali setiap bulan.

“Peruncit juga diingatkan untuk memastikan had pembelian minyak masak dan gula sebanyak tiga kg setiap pelanggan”

“Ia bertujuan bagi memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan barang kawalan terbabit,” katanya.

Jelasnya lagi, KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku perniagaan dan diingatkan jangan membuat pembelian panik. – UTUSAN BORNEO

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular