spot_img
HomeSemasaPeranan NGO, syarikat swasta diperlukan bantu usaha imuniti di Sabah

Peranan NGO, syarikat swasta diperlukan bantu usaha imuniti di Sabah

TAWAU: Penglibatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat swasta sangat diperlukan dalam usaha membantu kerajaan mempercepatkan imuniti kelompok di negeri ini.

Walaupun Sabah pernah mendapat tangga yang tercorot dalam pendaftaran vaksinasi akan tetapi semua pihak haruslah tahu bahawa negara kita berdepan dengan isu penyakit yang amat membimbangkan kita semua.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata usaha mewujudkan imuniti kelompok ini tidak boleh diletakkan di bahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.

“Semua pihak perlu membantu terutamanya dalam program vaksinasi yang dijalankan oleh pihak KKM samada dari segi tenaga, buah fikiran mahupun sumbangan material.

“Pihak kerajaan negeri juga akan sentiasa melihat keperluan KKM supaya tugas mewujudkan imuniti kelompok dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan penyampaian 10 komputer riba daripada Dewan Perniagaan TiongHua Tawau dan Kelab Pertanian Tawau kepada Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan negeri akan memperhalusi setiap keperluan KKM terutamanya semasa menjalankan program outreach di kawasan pendalaman.

“Saya percaya kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan membantu setiap usaha KKM,” katanya.

Nizam berkata, pihaknya berharap program vaksinasi akan dapat ditingkatkan lagi sekiranya bekalan vaksin diperolehi hujung bulan ini dan awal Ogos depan.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Nizam berkata, komputer riba sangat diperlukan dalam program vaksinasi.

“Semasa saya melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum ini, Pegawai PKK Tawau Dr G Navindran menyatakan bahawa mereka sangat memerlukan komputer riba.

“Saya telah menghubungi Dewan Perniagaan TiongHua Tawau supaya mereka dapat menyumbang komputer riba untuk kegunaan program vaksinasi,” katanya.

“kita sememangnya teruja dengan program imunisasi yang di jalankan oleh pihak kerajaan jadi dengan adanya bantuan set computer daridapa badan NGO dan juga syarikat swasta ini dapat melancarkan lagi usaha pihak Pusat Kesihatan di daerah Tawau” katanya

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berharap semua pihak yang mempunyai kelebihan diminta tampil membantu KKM.

“Masyarakat di daerah ini juga perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular