spot_img
HomeSemasaIsu kepulangan mahasiswa UMS, guna perkhidmatan bas

Isu kepulangan mahasiswa UMS, guna perkhidmatan bas

Kota Kinabalu: Pada 16 Julai 2021 telah dikeluarkan kenyataan oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (MPP UMS) mengenai penangguhan bagi pergerakan pulang pelajar ke daerah-daerah di Sabah.

Penangguhan ini telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan di pihak mahasiswa UMS yang terlibat dalam proses kepulangan ke tempat asal masing-masing.

Berikutan itu, Suara Mahasiswa UMS yang diwakili Izzat Dahelan ingin mengkedepankan permasalahan dan tuntutan buat mahasiswa.

“Penangguhan kepulangan mahasiswa UMS ini telah menyebabkan mahasiswa marah dan kecewa akibat beberapa masalah kebajikan seperti masalah kewangan mahasiswa, terutamanya untuk perbelanjaan makan minum sepanjang tempoh penangguhan”

“Malah, terdapat juga mahasiswa yang telah mendermakan lebihan stok makanan mereka kepada rakan mahasiswa yang tidak pulang. Hal ini menyebabkan mahasiswa terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk membeli makananan di cafeteria”, katanya ketika dihubungi hari ini.

Seterusnya, membebankan mahasiswa yang telah selesai mengatur dan menguruskan barang keperluan terlebih awal serta melakukan pendaftaran keluar kolej sebelum makluman penangguhan pemulangan mahasiswa.

Selain itu, caj kolej kediaman selepas tamat semester akan lebih membebankan mahasiswa khususnya bagi mahasiswa yang berada di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) sekiranya pihak Kerajaan Negeri memanjangkan lagi tempoh penangguhan pemulangan mahasiswa.

“Bahkan, mengganggu perancangan mahasiswa tahun akhir yang akan melaksanakan latihan industri selepas Hari Raya Aidiladha”

“Mahasiswa akan lebih terbeban dengan kelewatan untuk melapor diri di tempat latihan industri masing-masing dan membebankan mereka yang menyewa di luar akibat penangguhan ini” katanya.

Izzat menuntut agar pihak pengurusan Universiti dan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan proses kepulangan mahasiswa ke tempat asal mereka sepertimana yang telah dirancang sebelum ini.

Jelasnya lagi, mahasiswa pada waktu ini menghadapi masalah kebajikan yang amat menekan. Kelambatan proses kepulangan mahasiswa ini jelas telah menyusahkan mahasiswa yang telah menguruskan segala hal yang perlu sebelum berangkat pulang dan telah merosakkan segala perancangan mahasiswa.

“Isu berkaitan SOP ini tidak sewajarnya timbul memandangkan pihak pengurusan Universiti dan Kerajaan Negeri maklum bahawa Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan kenyataan berkaitan kepulangan mahasiswa ke tempat tinggal masing-masing pada 9 Julai 2021 dan memaklumkan bahawa mahasiswa dibenarkan untuk pulang bermula 12 Julai 2021”

“Kecelaruan ini jelas menunjukkan ketidaksediaan dan tidak proaktif pihak pengurusan Universiti dan Kerajaan Negeri dalam memastikan proses kepulangan mahasiswa berjalan dengan lancar.” Jelas Izzat lagi.

“Pihak pengurusan di peringkat Universiti dan Negeri harus lebih proaktif dalam menguruskan segala proses dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat yang termasuk juga di dalam kalangan mahasiswa”

“Penangguhan kepulangan mahasiswa ini menunjukkan betapa pihak Universiti dan Kerajaan Negeri tidak proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya”

“Sikap Suara Mahasiswa UMS jelas iaitu mempertahankan dan membela mahasiswa yang terkesan akibat daripada kecelaruan yang dilaksanakan oleh pihak universiti”

“Oleh itu, kami menutut agar pihak pengurusan di peringkat Universiti dan Negeri harus lebih proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab”, katanya.

Izzat juga berasa kecewa dengan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah yang tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang mendesak atau mengkritik berkaitan kecelaruan pengurusan Universiti dan Kerajaan Negeri.

Kritikan dan desakan ini perlu kerana dampak kepada kecelaruan tersebut telah diterima oleh mahasiswa secara langsung. Di sini Suara Mahasiswa UMS ingin menekankan bahawa tugas sebenar perwakilan mahasiswa adalah menyuarakan permasalahan dan mendesak bagi pihak mahasiswa.

Diharap MPP UMS kembali kepada tanggungjawab yang sebenar dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan pihak universiti semata-mata tanpa bersikap kritis terhadap kekurangan yang memberi dampak negatif khususnya kepada kebajikan mahasiswa.

Segala kritikan dan tuntutan ini dilakukan oleh Suara Mahasiswa UMS demi mempertahankan dan membela kebajikan mahasiswa.

“Kami berharap sokongan dan dokongan mahasiswa untuk terus diberikan khususnya melibatkan advokasi berkaitan isu mahasiswa secara keseluruhannya.”

“Dari Mahasiswa kepada Mahasiswa, dari Mahasiswa untuk Rakyat Malaysia!”, tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular