PAPAR: Sebanyak 560kg daging telah diagihkan kepada asnaf di sekitar daerah ini dalam program ibadah korban semalam.
Program ibadah korban yang diketuai oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Papar Abd Salim Karim semalam berjalan lancar walaupun dalam kekangan sukarelawan yang terhad untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dua ekor kerbau dan seekor lembu telah dikorbankan dalam program ibadah korban semalam dan diagihkan kepada asnaf di sekitar daerah Papar.
Terdapat 9 buah kampung yang terlibat dalam agihan daging korban semalam antaranya Kg Lepasan, Kg Kelanahan, Kg Gana, Kg Andus, Kg Kuala, Kg Gusi, Kg Pituru, Kg Sembulan dan Kg Takis.
“Suasana program korban kali ini berbeza dari sebelumnya kerana kita terpaksa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun yang kita harapkan adalah amal kita ini diterima oleh Allah,” ujar Abd Salim.
Tambahnya lagi, semua daging korban telah berjaya diagihkan kepada semua asnaf yang dapat disenaraikan. Semoga ia dapat menggembirakan hati penerima.
Pada masa yang sama para penerima daging korban mengucapkan terima kasih atas sumbangan daging korban dan penghargaan kepada PAS Papar atas inisiatif yang dilakukan.