KUALA LUMPUR – Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu, menyediakan tiga talian tambahan untuk memudahkan permohonan bantuan makanan orang ramai.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan pada Selasa berkata, inisiatif itu berikutan pertanyaan dan permohonan yang sangat tinggi yang diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak permohonan dibuka.
Tiga talian tambahan itu ialah 03-8323 2176, 03-8323 2177 dan 03-8323 2178.
Kementerian turut menyediakan medium permohonan alternatif melalui penggunaan Google Form di talian 017-729702.
“Kedua-dua saluran permohonan ini akan mula beroperasi jam 12 tengah hari Selasa.
“Pemohon juga masih boleh terus mengemukakan permohonan menerusi saluran sedia ada seperti menghubungi Bilik Gerakan JKM di 108 buah daerah di seluruh negara, Talian Kasih 15999 atau Whatsapp ke 019-2615999 serta melalui media sosial rasmi kementerian,” katanya. – SINAR HARIAN